Video link: https://fb.watch/a8LK7cc7if/
Ucapan Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Pertahanan peringkat Jawatankuasa oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 9-12-2021
Terima kasih Tuan Pengerusi.
Bajet 2022 untuk Kementerian Pertahanan ini memperuntukkan RM16.14 bilion. Ini merupakan peningkatan berbanding RM15.86 bilion tahun 2021, peningkatan sebanyak 1.8 peratus. Terdapat trend peningkatan daripada segi pembangunan dan diperuntukkan RM5.039 bilion merupakan angka tertinggi untuk lima tahun kebelakangan ini. Perbelanjaan pertahanan Malaysia telah melepasi satu peratus GDP yang sebelum ini dikawal sekitar satu peratus kerana GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita mencecah ke angka RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion.
Tuan Pengerusi, Butiran 00600 – Kelengkapan (Tentera Udara). Terdapat peningkatan bajet pada tahun 2022 ke RM1.685 bilion. Saya ingin meminta penjelasan Menteri tentang perkara ini. Berkenaan dengan big item purchase, adakah ia berkaitan dengan skuadron light combat aircraft yang kita ingin beli?
Tuan Pengerusi, setiap kali kita membaca berita tentang helikopter Nuri terhempas, begitu juga baru-baru ini pesawat Hawk 108 terhempas di pangkalan udara Butterworth. Saya ingin ucapkan takziah kepada keluarga juruterbang yang maut. Apakah butiran yang saya sebut itu sebahagian untuk menggantikan Nuri dan juga Hawk 108 yang usang?
Tuan Pengerusi, selain daripada terdapat bajet besar ini, orang awam juga menanyakan cara perolehan oleh Kementerian Pertahanan. Baru-baru ini Transparency International telah mengeluarkan Government Defense Integrity Index (GDI) 2020 dan Malaysia skor D, markah 45. Lemah daripada segi memerangi rasuah dalam sektor pertahanan. Defense White Paper, Kertas Putih Pertahanan telah menggariskan perlu ada satu jawatankuasa pelaburan pertahanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Apakah status penubuhan jawatankuasa ini dan juga status Pelan Pelaburan Pertahanan Negara, Dasar Industri Pertahanan Negara, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan. Minta penjelasan Menteri kerana telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Tuan Pengerusi, terdapat Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, telah menyatakan elemen penyelewengan perolehan antara lain kes kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan 16 kes land swap yang dibongkar oleh laporan tersebut dan terdapat kerugian dan ketirisan melibatkan nilai melebihi RM500 juta dana awam. Saya mendesak kerajaan supaya laporan JKSTUPKK ini declassify supaya orang awam boleh mengetahui penyelewengan dan juga ketirisan defense purchases. Perlu ada pembaharuan daripada segi prosedur dari segi defense purchases dan mereka yang berlaku salah dihadapkan ke mahkamah.
Tuan Pengerusi, Butiran 08400 – Perumahan Angkatan Tentera Malaysia, telah diperuntukkan RM388 juta. Mengikut laporan audit tahun 2018, terdapat melebihi 12,000 rumah keluarga angkatan tentera yang tidak dihuni. Apakah status sekarang? Ini sama ada peruntukan ini akan menyediakan berapa unit rumah untuk Angkatan Tentera Malaysia?
Tuan Pengerusi, Butiran 020000 – Pertahanan Negara. Saya perhatikan bajet item pertahanan mendapati bahawa paling banyak ialah sampai RM6 bilion untuk darat dan diikuti udara RM1.7 bilion dan maritim RM1.5 bilion dan terakhir sekali, bantuan bersama RM1.3 bilion. Kertas Putih Pertahanan telah menggariskan Malaysia sebagai maritime nation. Perlu ada recalibration structure ketiga-ketiga pertahanan kita supaya prioriti kepada maritim dan juga joint services untuk koordinasi operasi.
Apakah usaha untuk safeguard kepentingan Malaysia di Laut China Selatan apabila laporan demi laporan pencerobohan kapal dan Tentera Udara negara asing dan juga di ruang udara perairan kita? Telah dilaporkan bahawa terdapat begitu banyak 127 buah aset China Coast Guard dan 37 buah aset People’s Liberation Army navy yang mencerobohi sekitar Beting Patinggi Ali. Saya meminta supaya perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana sekiranya kita tidak menjalankan military diplomacy, tindak balas secara diplomatik, kemudian ia akan menjadi satu fait accompli dan ini sebahagian daripada Grey Warfare yang dilakukan oleh negara tersebut.
Oleh itu Wisma Putra perlu ada diplomatic protest setiap kali pencerobohan dan military diplomacy perlu ditegaskan untuk mempertahankan perairan dan ruang udara negara kita.
Terima kasih Tuan Pengerusi.
No comments:
Post a Comment